Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru,
rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan.
Kulitnya
kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada
tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya.
Ahli
membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan
sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya
sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam
kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala
datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk
memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan
disuruh memberi syafa'atnya.
Ternyata Allah memberi izin padanya
untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi'ah dan
qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun
ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia pada mata manusia...
Tidak
banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya.
Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan
mempermainkan hatinya.
Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai
seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi
umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.
Suatu ketika,
seorang fuqoha' negeri Kuffah, datang dan ingin duduk bersamanya. Orang
itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah. Namun, hadiah pakaian
tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula kepadanya. Uwais berkata:
"Aku
khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari mana aku mendapatkan
pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti daripada mencuri."
Uwais
telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali
hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya
penglihatan kabur yang masih tersisa.
Bagi
menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala
kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk menampung
keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan, Uwais
menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba
kekurangan.
Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya
yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap
melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais
al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke
negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka untuk
menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.
Islam
mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan
yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. Apabila seruan Islam
datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati
Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.
Banyak tetangganya
yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran
Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka
memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.
Alangkah
sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang
dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah
penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.
Kecintaannya
kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan
sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk
ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang sakit dan perlu
dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya nanti?
Diceritakan
ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya
patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini sampai ke
pengetahuan Uwais.
Dia segera memukul giginya dengan batu hingga
patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada
Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Hari berganti
dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung dan hasrat untuk
bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya
dalam hati, "Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah
beliau dengan dekat?"
Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat
memerlukan perhatian daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya
sendiri. Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk
berjumpa Rasulullah.
Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati
ibunya. Dia meluahkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar
diperkenankan untuk pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.
Sang
ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan
anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,
"Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang."
Dengan
rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk
menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada
tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah
siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais
menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus kilometer dari
Yaman.
Medan yang begitu panas dilaluinya. Dia tidak peduli
penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat
menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di
malam hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang
sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah
Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W,
diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah
sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.
Segera
sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata
baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa
kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang
dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan
ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.
Bilakah
beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang
sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
"Engkau harus lekas pulang."
Atas
ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara
hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.
Dia
akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina
'Aisyah R.A ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi
S.A.W dan melangkah pulang dengan hati yang pilu.
Sepulangnya
dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan
orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais
al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit
dan sangat terkenal di langit.
Mendengar perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.
Menurut
sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan
segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan
sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
Rasulullah
S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais
al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah
telapak tangannya."
Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
"Suatu
ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan
istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Tahun
terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah
sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah
digantikan dengan Khalifah Umar R.A.
Suatu ketika, khalifah
Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang
penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W
untuk mencarinya bersama.
Sejak itu, setiap ada kafilah yang
datang dari Yaman, mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni,
apakah ia turut bersama mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang
merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai ia dicari oleh
beliau berdua.
Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih
berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni
turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.
Melihat
ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A
dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais
turut bersama mereka.
Rombongan itu mengatakan bahawa ia ada
bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota.
Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais
al-Qarni.
Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah
Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya Uwais
sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab
salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk
membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais,
sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.
Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
"Siapakah nama saudara?"
"Abdullah." Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,
"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"
Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais al-Qarni."
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah
sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat
itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais
berkenan mendoakan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,
"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda."
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.
Setelah
itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada
Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais
menolak dengan halus dengan berkata,
"Hamba mohon supaya hari
ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah
hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.
Namun,
ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu oleh Uwais. Ketika itu
kami berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama para pedagang.
Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan kencang.
Akibatnya,
hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam
kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat
seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang
kami tumpangi, lalu kami memanggilnya.
Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
"Wahai waliyullah, tolonglah kami!" Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,
"Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!"
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,
"Apa yang terjadi?"
"Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?" Tanya kami.
"Dekatkanlah diri kalian pada Allah!" Katanya.
"Kami telah melakukannya."
"Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!"
Kami
pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat itu
jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam,
sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami,
"Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan kalian semua selamat."
"Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?" Tanya kami.
"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya,
"Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir."
"Jika
Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan
membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?" Tanyanya.
"Ya!" Jawab kami.
Orang
itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah
Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan
air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di
Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir
di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal.
Beberapa waktu
kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah.
Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang
berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan
untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk
mengkafankannya.
Demikian juga ketika orang pergi hendak
menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali
kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan,
luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
"Ketika
aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada
menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut
untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada
bekas di kuburnya."
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang
yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa
pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Pemergian Uwais al-Qarni
telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang
amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang
untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang
fakir yang tidak dihiraukan orang.
Sejak dia dimandikan
hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada
orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk
kota Yaman tercengang.
Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah
sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal,
hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah
sebagai penggembala?"
"Namun, ketika hari wafatmu, engkau
telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing
yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian
banyaknya."
Agaknya mereka adalah para malaikat yang
diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru
saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar